Nota: Temu bual ini diadakan dalam Bahasa Inggeris, jadi sebarang petikan langsung telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu.
Pernahkah anda memasuki sebuah kedai, menjumpai sesuatu yang anda sangat minat, hanya untuk berasa kecewa selepas menyemak tanda harga?
Begitulah perasaan Umai beberapa bulan lalu. Dia terjumpa sehelai selendang kucing yang sangat comel tetapi terpaksa meninggalkan kedai mewah KL itu dengan berat hati. Namun begitu, Umai tidak dapat melupakan tentangnya.
Sehinggalah 7hb September, 2023, apabila suaminya bertanyanya, “Mengapa anda tidak mereka tudung kucing sendiri pada harga yang berpatutan? Apa yang menghalang anda?” Amir Subril menggesa.
Persoalan itu mencetuskan Umai untuk memulakan The Hartan, jenama selendang yang bertema kucing.
Pertukaran kerjaya ini agak luar jangkaan Umai kerana dia seorang yang tidak minat mininggalkan zon keselesaannya. Melancarkan perniagaan sendiri bermakna dia harus mengambil risiko. Dan pada masa itu, pasangan suami isteri ini telah pun meninggalkan kerjaya korporat mereka untuk menguruskan homestay dan chalet keluarga mereka di Bagan Datuk, Perak.
Tetapi Amir melihatnya sebagai peluang untuk mencuba sesuatu yang baru. “Sama ada anda berjaya atau gagal, sekurang-kurangnya anda mencuba. Ia sebahagian daripada perjalanan hidup,” dia mengingatkan Umai.
Sokongan dari suaminya ini memberikan Umai keyakinan yang dia perlukan untuk menjalankan keusahawan tersebut bersama-sama.
Khas untuk orang yang sayangkan kucing
Sebagai seorang yang gilakan kucing, sudah jelas yang Umai mempunyai teman berbulu sendiri. Dipanggil Muk, si kucing British Shorthair ini adalah separuh daripada inspirasi di sebalik The Hartan.
Satu lagi sumber inspirasi ialah anak perempuan Umai dan Amir, Natrah, yang mempunyai hubungan comel dengan Muk. Umai membayangkan Natrah memakai selendang dan kaca mata hitam, bermain dengan Muk.
Begitulah konsep The Hartan dilahirkan.
Jika anda mengimbas laman webnya, anda akan mendapati bahawa The Hartan kini hanya mempunyai tiga produk setakat ini: The Clowder of Catso, Muk Thru The Glass, dan pengeluaran terbarunya yang dipanggil Kitty Di Aidilfitri.
Ini merupakan langkah strategik oleh Umai dan Amir untuk memperkenalkan produk mereka ke dalam pasaran Muslimah secara berperingkat.
Berkongsi dengan kami, Umai menjelaskan bahawa mereka merancang untuk melancarkan produk baharu setiap bulan untuk menjanakan daya tarikan. Kini, mereka sudah mempunyai beberapa rekaan yang sedia untuk dikeluarkan enam bulan seterusnya.
Setiap rekaan mengambil masa lebih kurang lima hari untuk disiapkan. Ia merupakan hasil karya kawan baik Umai yang juga merupakan seorang yang gilakan kucing juga. Jadi senang sahaja dia dapat merealisasikan visi Umai dan Amir untuk produk-produk The Hartan.
Coraknya tidak mengenali had umur
Setiap produk bawah jenama The Hartan (RM89) ditawarkan dalam pelbagai warna dan juga saiz: selendang shawl dan tudung bawal. Pengeluaran saiz yang berbeza ini membolehkan jenama tersebut menguasai pasaran Muslimah yang lebih besar.
Untuk konteks, orang lain mempunyai pilihan yang berbeza dalam cara mereka minat menggayakan tudung. Gaya tradisional menggunakan tudung bawal, manakala selendang shawl kelihatan lebih moden.
Tetapi The Hartan bukan hanya untuk orang yang bertudung, ia untuk sesiapa sahaja yang suka kucing.
Mereka yang tak berhijab boleh menggunakan selendang The Hartan untuk melilit leher ala-ala gaya Perancis atau untuk menambahkan aksesori pada beg tangan. Alternatif lain ialah memakainya sebagai tube top sepertimana ramai dari kalangan Gen Z lakukan.
Oleh demikian, senang untuk dilihat yang The Hartan ingin menyasarkan pelanggan muda seperti budak-budak universiti dan dewasa yang baru masuk alam pekerjaan.
Walau bagaimanapun, selendang bertema kucing ini tidak mempunyai had umur. Umai berkongsi yang sebahagian besar jualan mereka adalah daripada wanita berusia 40-an yang tidak semestinya menganggap diri mereka sebagai pencinta kucing.
Sebagai perniagaan kecil, jenama ini memberi tumpuan kepada pengeluaran tudung dalam kuantiti yang rendah. Ini membolehkan mereka menganalisis dan menentukan rekaan yang disukai ramai tanpa perbelanjaan modal yang besar.
Bersedia untuk menguasai pasaran tempatan
The Hartan adalah salah satu daripada segelintir jenama tudung di Malaysia yang mempelopori tudung bertema kucing. Ini merupakan satu pencapaian kerana mereka mengukir niche baharu yang selaras dengan minat pengasasnya.
Walau bagaimanapun, The Hartan harus berhati-hati kerana rekaan boleh dicuri dengan mudah. Kami telah melihat perkara ini berlaku beberapa kali di mana jenama besar menyalin karya usahawan berskala lebih kecil. Kami tidak menuding jari kepada sesiapa, tetapi anda hanya perlu melayari Google untuk mengetahui kes-kes yang disebutkan.
Jadi mendapatkan hak harta intelek (IP) untuk rekaan The Hartan sudah pasti ada dalam agenda Umai dan Amir.
Sekiranya mereka menghadapi masalah ini pada masa hadapan, pasangan suami isteri ini bersedia untuk menanganinya dengan bijak. “Kami akan melihatnya sebagai peluang pemasaran untuk kami berkembang dan meraih perhatian sebanyak mungkin supaya orang ramai tahu [The Hartan],” kongsi Umai.
“The Hartan bukan hanya tentang rekaan unik. Kami lebih daripada itu. The Hartan adalah tentang perjalanan kami. Tidak kira apa yang berlaku, kami akan terus bertahan dengan melakukan yang terbaik.”
Pada masa ini, produk-produk mereka hanya boleh dibeli di laman web mereka. Umai dan Amir tidak mempunyai rancangan untuk membuka kedai fizikal lagi. Sebaliknya, tumpuan akan diberikan kepada pemasaran online.
Mereka juga merancang untuk menderma sebahagian dari pendapatan The Hartan kepada beberapa tempat perlindungan haiwan tempatan untuk berkongsi rezeki bersama rakan berbulu yang memerlukan bantuan. Mereka berharap yang perbuatan baik kecil ini dapat menolong kucing yang tidak berumah akan mendapat kasih sayang dan penjagaan yang sewajarnya.
- Ketahui lebih lanjut tentang The Hartan di sini.
- Baca artikel lain tentang startup Malaysian di sini.
Kredit Gambar Feature: The Hartan