Nota: Temu bual ini dilakukan dalam bahasa Inggeris, jadi sebarang petikan langsung telah diterjemahkan ke BM.
Bagi rakyat Malaysia, PappaRich adalah jenama yang tidak asing. Kedai makan ini terkenal dengan sajian makanan kopitiam tradisional dalam suasana yang lebih anggun dan moden.
Kebelakangan ini, PappaRich mendapat kejayaan yang lebih baik di luar negara walaupun ia sebenarnya jenama tempatan. Terdapat juga lebih banyak kopitiam moden yang telah masuki pasaran sejak ia dilancarkan tahun 2005.
Tetapi semua ini tidak menghalang Andy Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Pineapple Resources Berhad, daripada membida untuk keseluruhan jenama PappaRich di Malaysia dan Kemboja pada tahun 2023.
Bercakap dengan Vulcan Post, beliau berazam untuk membangkitkan semula PappaRich pada zaman kegemilangannya.
Bagaimana? Bermula dengan rombakan penuh dalam tempoh enam bulan yang akan datang, termasuk memperkenalkan jenama baharu bernama PappaRich Lite.
Mengambil peranan yang lebih besar
“Kami mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap PappaRich kerana ia adalah salah satu daripada 10 jenama F&B tempatan yang paling popular di Malaysia sebelum ini,” Andy berkata.
Walaupun kenyataannya ringkas, namun ia penuh dengan harapan yang tinggi untuk masa depan. Hasrat ini juga bukan tidak realistik, kerana Andy sebenarnya mempunyai pengalaman dalam syarikat PappaRich.
Kira-kira lapan tahun lalu, usahawan berusia 41 tahun itu bersama bapanya (dan beberapa rakan bapanya) memulakan cawangan PappaRich di NU Sentral Mall sebagai pemegang francais.
Dari situ, Andy dan bapanya mendalami pengetahuan mereka dalam industri F&B. Dan tidak lama kemudian, kemahiran yang mereka perolehi membolehkan mereka membuka restoran hot pot Thai bernama Bhai Jim Jum.
“Kami percaya bahawa dengan memberi tumpuan kepada strategi baharu kami ditambah dengan pengalaman kami menguruskan cawangan francais NU Sentral PappaRich selama hampir 10 tahun, kami berada dalam kedudukan untuk menyahut cabaran untuk menghidupkan semula dan mengembangkan jenama ini,” kongsi Andy.
Dengan itu, mereka memulakan usaha untuk memulihkan kedudukan restoran sebagai salah satu jenama F&B tempatan terkemuka di negara ini.
Daripada IT kepada F&B
Pada mulanya, Andy memulakan kerjayanya dalam industri IT dan mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam bidang runcit IT.
Setelah menguruskan lebih 100 kedai runcit IT, dia telah mengumpul pelbagai jenis kemahiran. Ini termasuklah kemahiran berkaitan dengan hal ehwal sumber manusia seperti skim pengambilan pekerja dan komisen.
Ditambah dengan peranan beliau dalam menguruskan Bhai Jim Jum punya lima cawangan selama setengah dekad, Andy percaya bahawa dia mempunyai kecekapan yang diperlukan untuk menghidupkan semula jenama PappaRich di Malaysia.
“Pengalaman yang saya kumpulkan selama ini telah membantu saya membentuk strategi yang lebih baik untuk mencari lokasi kedai yang berpotensi, melaksanakan kempen pemasaran yang berkesan, dan yang paling penting, menggunakan pengalaman penyumberan saya untuk mendapatkan bahan terbaik untuk restoran kami,” katanya.
Menjelaskan lagi, dia berkata bahawa mendapatkan bahan mentah adalah salah satu cabaran utama yang dihadapi dahulu di cawangan NU Sentral PappaRich sebagai pemegang francais.
Bercakap terus terang, Andy berkongsi dengan kami bahawa pada satu ketika, mereka tidak mendapat bahan masak dari dapur berpusat PappaRich. Masalah ini menyebabkan kedainya bergelut untuk mengekalkan rasa makanan yang dihidangkan dan seterusnya, menyebabkan kehilangan ramai pelanggan setia.
“Mujurlah, beberapa pemegang francais, termasuk bapa saya, bertukar idea dan berkongsi sumber untuk mengatasi krisis ini,” kongsinya.
Disebabkan kejadian ini, pasukan Andy di NU Sentral terpaksa mencari bahan sendiri. Dan dengan masa, mereka berjaya mencapai citarasa “yang paling hampir dengan versi asal” setelah beberapa percubaan.
Memperkenalkan jenama baharu di bawah kumpulan
Dengan itu, sebahagian daripada rancangan Andy untuk memberi kehidupan baharu kepada jenama itu akan menumpukan perhatian pada prinsip PappaRich, iaitu menawarkan makanan yang enak kepada pelanggan.
Andy enggan mengulas terlalu banyak mengenainya supaya tidak membongkarkan kejutan yang telah dirancangkan. Tetapi dia mengusik bahawa menu akan bertumpu kepada masakan Malaysia yang klasik dan nostalgia.
Lebih menarik lagi ialah pengenalan jenama baharu tersebut yang dipanggil PappaRich Lite kelak nanti. Jenama makanan ini adalah di bawah kumpulan PappaRich tetapi ia akan mempunyai cawangan kedai sendiri.
“Dalam usaha kami untuk menambah [kehidupan] baharu kepada jenama, kami akan ada perubahan dari segi rasa dan persembahan makanan,” kongsi Andy.
“Perubahan ini akan menjadi lebih jelas dan tonjol untuk Papparich Lite kerana kami menyasarkan pelanggan yang lebih muda, khususnya golongan muda yang bekerja dalam lingkungan umur 25 hingga 35. Kami bermatlamat untuk menjadi pilihan utama mereka untuk makanan tempatan yang selesa pada harga yang lebih berpatutan.”
Pada masa ini, konsep PappaRich Lite masih dalam peringkat percubaan dan anda boleh melanggannya di Wangsa Walk Mall. Sebuah cawangan sudah ditubuhkan di sana dengan lebih banyak lagi dalam agenda, termasuk peluang francais juga.
Optimis tentang apa yang akan datang
Walaupun teruja dengan rancangan baharu ini, Andy mengakui bahawa ia bukan satu jalan yang mudah untuk jenama ini.
Dalam kata-katanya sendiri, PappaRich telah bergelut sejak beberapa tahun lalu, namun ia agak mencabar untuk mendaptkan kembali keyakinan pelanggan.
Sebagai kedai yang berusia lebih dari 20 tahun, satu lagi halangan yang mereka jangkakan ialah mendapat penerimaan dan pengiktirafan daripada penonton yang lebih muda. Ini adalah kebimbangan yang wajar kerana terdapat banyak kafe yang tumbuh subur di seluruh negara yang menawarkan makanan tempatan yang enak.
Apatah lagi pesaing pasaran yang lebih ketara ialah Rich Kopitiam, yang dimulakan oleh pengasas PappaRich, Rich Tan.
Tetapi Pengarah Eksekutif PappaRich yang baharu tidak berundur dari tugas sukar yang menunggunya di hadapan. Matlamatnya untuk jenama ini adalah untuk mengekalkan legasinya sebagai restoran yang menawarkan hidangan Malaysia, tetapi kini dengan rasa gabungan yang dikemas kini.
“Kami percaya ruang pasaran cukup besar untuk semua orang,” kata Andy.
“Kami berharap untuk mempunyai sekurang-kurangnya 50 cawangan di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang. [Dan] memandangkan kami juga pemilik jenama untuk Kemboja, kami juga berharap untuk melihat 10 cawangan di rantau itu melalui francais induk yang berpotensi sebagai rakan kongsi.”
- Ketahui lebih lanjut tentang PappaRich di sini.
- Baca artikel lain yang kami tulis tentang startup Malaysia di sini.
Kredit Gambar: PappaRich