fbpx
In this article

Nota: Temu bual ini dilakukan dalam bahasa Inggeris, jadi sebarang petikan langsung telah diterjemahkan ke BM.

Dilahirkan di Sibu, Sarawak, pertemuan pertama John Sim dengan pastri adalah ketika dia melawat Kuala Lumpur bersama keluarga pada zaman sekolah rendah. Waktu itu, dia menemui pelbagai pastri yang menyelerakan di rak Délifrance, terutamanya croissant kecil.

Apabila John memasuki alam kedewasaan, cintanya terhadap pastri menjadi semakin kukuh. Beliau memasuki industri pemasaran dan pembangunan perniagaan F&B, di mana dia khususnya bekerja di sektor makanan sejuk beku sejak 2002.

Pada satu ketika, dia menceburi bidang perdagangan makanan laut yang membawanya ke seluruh dunia termasuk Amerika Selatan. Di situlah dia didedahkan kepada budaya kafe sana. Mengimbas kembali, John berkongsi bahawa dia memesan espresso double-shot dan pastri yang baru dibakar selama 22 hari berturut-turut.

Kredit Imej: John’s Pie

“Apabila saya kembali ke negara kita, saya berimpian untuk mempunyai kafe yang menghidangkan kopi dan pastri untuk persaraan saya,” katanya. Ketika itu, dia hanya berumur 21 tahun.

Kini pada usia 44 tahun, John menjalani impian itu melalui John’s Pie.

Tetapi sudah tentu, impian itu tidak direalisasikan dengan mudah.  

Semasa beliau berkhidmat sebagai usahawan dalam perdagangan makanan laut, John melalui titik rendah dalam hidupnya. Pada masa itu, seorang kawan baik telah membuat pai untuknya yang mengingatkan John tentang impian itu.

Menyedari bahawa pai yang enak sukar didapati di Malaysia, dia memutuskan dia mempunyai peluang di sana. Walau bagaimanapun, John sebenarnya tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang buatan pai walaupun berdekad pengalamannya dalam industri makanan dan pemasaran, jadi dia merujuk buku dan YouTube untuk belajar.

Dilengkapi dengan pengetahuan pai baharunya, dia menyewa kiosk kecil seluas 60 kaki persegi di sebelah pintu masuk pasar raya. Dengan demikian, ia menandakan permulaan John’s Pies.

Pai dengan ayam goreng

Berbanding dengan negara-negara Barat, pai nampaknya belum menjadi makanan popular di Malaysia, terutamanya jenis yang savuri.

John menyokong pemerhatian ini. Beliau berkongsi yang hanya sebilangan kecil pelanggan yang telah mencuba pai yang benar, biasanya mereka yang berpeluang untuk merasainya di luar negara, menghargai hidangan tersebut.

“Untuk mengekalkan impian saya, saya mula menjual ayam goreng Taiwan menggunakan resipi asli ciptaan kami, yang mendapat lebih populariti berbanding pai,” katanya. “Tetapi tidak! Saya mahukan kedai pai, bukan lagi satu kedai jual ayam goreng.”

Dua tahun berlalu, dan keadaan tidak bertambah baik. Perniagaan John hampir kehabisan modal, malah tukang pai pun berpisah dengan perniagaannya. Pada ketika itu, John sudah berfikir untuk gulung tikar.

Tetapi selepas perbincangan dengan isterinya, Joleen, dia mengabaikan pemikiran tersebut. Joleen mendapat tahu yang Rainforest Music Festival di Kuching akan diadakan tidak lama lagi dan berjaya meyakinkan John untuk memberikan perniagaan painya peluang terakhir.

Kredit Imej: John’s Pie

“Jika pelanggan antarabangsa benar-benar mengatakan makanan anda tidak sedap, kami akan menamatkannya dan menutup perniagaan,” John teringat kata-kata Joleen.

Jadi, mereka membayar yuran masuk dan perbelanjaan yang sekitar RM2,000 hingga RM4,000. Memandangkan perniagaan itu mengalami kerugian sejak dua tahun lalu, John dan isterinya terpaksa mengais wang tersebut untuk mendaftar dalam acara pesta muzik itu.

“Saya memberitahu diri saya bahawa ia adalah ‘do or die’, jadi pergi dan lakukannya saja,” kata John.

Ia sememangnya satu perjudian, yang tidak membuahkan hasil pada mulanya. Pada hari pertama, dia hanya berjaya menjana RM700 hasil jualan.

Namun begitu, dia terkejut apabila mendapati ramai orang beratur di kiosknya pada keesokan pagi walaupun kedai belum dibuka. Permintaan pada hari tu sangat besar di mana kru John harus melayan pelanggan sehingga tengah malam, dan jualannya menjadi 10 kali ganda lebih dari hari sebelumnya.

“Apa?!” John terkejut. “Apabila pesta muzik berakhir pada malam Ahad, jualan yang kami perolehi adalah seperti kutipan jualan beberapa bulan dari kiosk kami di bandar.”

Dengan itu, impian John dihidupkan semula, dan John’s Pie mula berkembang menjadi sebuah perniagaan yang lebih besar.

Kredit Imej: John’s Pie

Mendapat sekeping pai yang lebih besar

Selepas beberapa tahun bekerja keras dan dengan permintaan yang semakin meningkat untuk pai, John memutuskan bahawa sudah tiba masanya untuk menawarkan lokasi yang lebih kekal dan selesa untuk pelanggan beliau.

Oleh itu, mereka membuka kedai pai pertama mereka di Wisma Phoenix, sebuah bangunan lama yang merupakan mercu tanda di Kuching menurut John. Lokasi itu adalah kawasan trafik tinggi, di mana John juga meningkatkan potensinya dengan membangunkan papan tanda setinggi lima kaki untuk menarik perhatian orang yang lalu lalang.

“Kosnya lebih murah daripada membuat iklan di akhbar,” katanya. “Selepas setahun, kami tutup sebab objektif untuk mendapatkan perhatian telah dicapai. Kami memerlukan ruang yang lebih baik dan lebih besar untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami.”

Jadi, mereka berpindah ke lokasi yang berkeluasan dua kali ganda dari cawangan sebelumnya di Wisma Phoenix. Dari situ, jenama pai ini membuka lebih banyak cawangan. Kini, mereka boleh dijumpai di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, The Spring Mall, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Menunya termasuk pai daging, quiche, cottage pie, shepherd’s pie, serta pilihan yang lebih manis seperti tart keju dan pastri buah-buahan.

Anggota krew dari John’s Pie di Kuching / Kredit Gambar: John’s Pie

Untuk memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan, John’s Pie juga telah memperoleh sijil halal, yang bukan satu proses yang mudah.

“Perjalanan itu sukar,” jelas John. “Saya mengambil masa empat tahun untuk mendapatkan pensijilan kemudahan kami di bawah MeSTI KKM untuk kebersihan dan keselamatan makanan, kemudian baru memohon pensijilan halal dari JAKIM.”

Sepanjang proses memohon pensijilan halal, pengasas berkongsi bahawa mereka mendapat galakan daripada ramai orang Islam yang mendorong mereka untuk meneruskan usaha tersebut.

Menambahkan kopi ke dalam adunan

Selain dari pastri, John mengembangkan perniagaannya dengan pembukaan bahagian kafe. Maka, pelawat boleh menikmati minuman seperti kopi bersama pai mereka.

Biji kopi pertama yang diperkenalkan di John’s Pie ialah biji kopi Liberica daripada pemanggang kopi artisan di Malaysia Barat.

Kredit Imej: John’s Pie

Untuk mempromosikan lagi biji kopi tempatan, John’s Pie mula memanggang biji kopi sendiri dengan panggang tangan. Sejak tahun lepas, mereka telah menaik taraf kepada mesin pemanggang kopi.

“Pai atau pastri bersama kopi adalah seperti padanan yang sempurna,” John berkata.

Selain daripada kopi espreso, John’s Pie juga menawarkan minuman dalam botol, iaitu Kopi Susu Ais Siri Nanyang dan Teh Susu Ais Siri Nanyang, yang telah menjadi minuman istimewa jenama itu.

Masa depan bisnes

Di luar Sarawak, John’s Pie telah membuka sebuah cawangan di Publika, Kuala Lumpur.

Pengembangan ini dilakukan melalui perjanjian pelesenan dengan seorang peguam bernama Dato Edlin Ghazaly yang telah cuba John’s Pie apabila menghadiri majlis perkahwinan di Kuching.

Menurut John, seorang rakan Dato Edlin membawanya ke lokasi Jalan Song mereka, di mana dia jatuh cinta dengan pai. Ini membawa kepada panggilan telefon dengan John, diikuti dengan mesej WhatsApp selama beberapa bulan. Akhirnya, mereka memutuskan keputusan untuk membawa jenama itu ke KL.

John dan Joleen bersama Dato Edlin di cawangan Publika (kiri) / Kredit Imej: John’s Pie

Perkembangan ini berlaku sekitar penghujung tahun 2022, dan akhirnya kedai di KL dibuka pada Julai 2023.

Kini, terdapat enam cawangan John’s Pie di Malaysia Timur, dan dua cawangan di Malaysia Barat.

“Kami merancang untuk mengembangkan lagi, mungkin melalui pelesenan,” John berkata. “Bagaimanapun, kami akan sentiasa mengutamakan kualiti dan keaslian.”

Sementara itu, pasukan John sedang melancarkan proses pengeluarannya agar ia boleh ditingkatkan dan mereka boleh berkembang maju lagi.

Sepanjang perjalanan John’s Pie yang berjangka 13 tahun, John telah melintasi rintangan yang berbagai. Malahan, John telah menimbangkan bahawa sesetengah rintangan ini adalah punca kejayaannya.

“Ini petikan saya yang meringkaskan pengalaman saya,” katanya kepada Vulcan Post. “Saya mempunyai idea, dan saya hanya mahu membuktikan kepada orang ramai bahawa ia boleh berjaya. Orang akan sentiasa mentertawakan anda sehingga anda berjaya.”

  • Ketahui lebih lanjut tentang John’s Pie di sini.
  • Baca artikel lain yang telah kami tulis tentang perniagaan F&B di sini.

Kredit Imej Pilihan: John’s Pie

Subscribe to our newsletter

Stay updated with Vulcan Post weekly curated news and updates.

newsletter image

Subscribe to our newsletter

Stay updated with Vulcan Post weekly curated news and updates.

newsletter image

Malaysia

Edition

Vulcan Post aims to be the knowledge hub of Singapore and Malaysia.

© 2021 GRVTY Media Pte. Ltd.
(UEN 201431998C.)

icon-malaysia.svg

Malaysia

Edition

Vulcan Post aims to be the knowledge hub of Singapore and Malaysia.

© 2021 GRVTY Media Pte. Ltd.
(UEN 201431998C.)

Singapore

Edition

Malaysia

Edition